KUALA LUMPUR: Blogger terkenal, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali Papagomo atau Sir Azri, ditahan polis awal pagi tadi kerana disyaki terbabit kes penipuan kutipan dana.
Difahamkan, tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman kira-kira jam 3 pagi tadi.
Wan Muhammad Azri, 41, dipercayai memanipulasi nama sebuah syarikat untuk melakukan kutipan dana secara tidak sah.
Polis turut merampas telefon bimbit milik blogger terbabit untuk tujuan siasatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.
Dalam pada itu, peguam Rafique Rashid memaklumkan, Wan Muhammad Azri ditahan susulan satu laporan polis oleh seorang menteri berkait syarikat Invoke Solutions.
Katanya, proses reman ke atas Wan Muhammad Azri berlangsung di Lokap Berpusat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jinjang dan blogger itu diwakili peguam, Zoolazrai Zolkefly.
“Pegawai penyiasat memohon untuk menahan reman Wan Muhammad Azri, namun peguam membantah reman berkenaan. Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan reman satu hari dibenarkan,” katanya.
Menurut Rafique, Wan Muhammad Azri dimaklumkan PDRM mendapat arahan tangkap dari Pegawai AMLA PDRM yang telah pun mengesahkan akan berjumpanya bagi siasatan pada jam 11 pagi hari ini.
“Amat hairan mengapa perlu tangkap kalau telah ada temu janji dalam masa 10 jam dari masa tangkapan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video penahanan Wan Muhammad Azri oleh sepasukan anggota polis di kediamannya.
Menerusi kapsyen bersama rakaman video dimuat naik di TikTok itu, blogger terbabit ditahan jam 1 pagi tadi untuk siasatan berkaitan kes AMLA.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.