KUALA TERENGGANU: Sebanyak 10 sungai di beberapa daerah di negeri ini masih melepasi paras bahaya.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Osman Abdullah berkata, sungai yang merekodkan bacaan melepasi paras bahaya adalah Kuala Jengai iaitu 21.25 meter, Jambatan Jerangau (13.22 meter) dan sungai Pengkalan Berangan (3.20 meter).
Katanya, empat sungai yang melepasi paras bahaya adalah sungai di Kampung Jeram (4.66 meter), Kampung Kuala Ping (22.26 meter), Kampung Bukit (14.57 meter), Kampung Langkap (21.16 meter).
“Tiga lagi sungai yang turut mencatatkan melepasi paras bahaya adalah di Jambatan Permaisuri (8.83 meter), Jambatan Jertih (9.30 meter) dan Sungai Paman di Kemaman yang mencatatkan paras melepasi paras bahaya iaitu 4.30 meter,” katanya.
Sementara itu, Osman berkata, penduduk yang tinggal di kawasan rendah di sekitar Taman Desa Tanjung Damai (TDTD) di Kuala Nerus, di sini, diminta bersiap siaga dan bersedia untuk berpindah berikutan paras air di Sungai Nerus di Kampung Jeram mencatatkan paras bahaya melebihi 4.66 meter.
“Banjir dijangka akan berlaku di sekitar TDTD berikutan peningkatan aras bahaya yang semakin meningkat.
“Penduduk di kawasan rendah di sekitar Sungai Nerus dan lembangan Sungai Tok Jiring diminta berjaga-jaga dan bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.