comscore
Tumpuan :
Nasional

Paras air sungai lima daerah di Sabah kritikal

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

KOTA KINABALU: Lima daerah di Sabah dikenal pasti berdepan penurunan paras air sungai yang kritikal berikutan kemarau atau cuaca panas yang dikaitkan dengan fenomena El Nino, ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata daerah terbabit ialah Kota Belud, Keningau, Membakut, Tambunan dan Kota Marudu.

Katanya, penyusutan air yang dilaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah itu menjejaskan bekalan air, termasuk untuk skim pengairan pertanian di kawasan terbabit.

“Kebanyakan sungai di Sabah sedang mengalami penurunan paras air, sekali gus memberi kesan kepada bekalan air untuk pengairan.

“Kawasan yang kritikal termasuk Kota Belud, Keningau, Membakut, Tambunan, and Kota Marudu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kesan yang dihadapi sektor pertanian dan perikanan di Sabah berikutan cuaca panas yang melanda negeri ini sekarang.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, berkata beberapa skim pengairan pertanian di negeri ini turut dilaporkan terjejas akibat penurunan paras air sungai.

Katanya, situasi itu memaksa catuan air dilaksanakan bagi menangani penyusutan sumber air yang berlaku di kawasan yang terjejas.

“Secara spesifik, antara skim pengairan yang terjejas akibat penurunan paras air sungai ialah Skim Timbang Batu di Kota Marudu.

“Turut terjejas ialah Skim Pengairan Membakut yang mana paras air sungai menyusut dua meter daripada paras normal, manakala di Sungai Padas, Beaufort paras air kini hanya 2.85 meter berbanding paras normal 4.5 meter,” katanya.

Beliau berkata, cuaca panas dan kering yang berpanjangan memberi kesan yang signifikan terhadap pengeluaran makanan di Sabah.

Katanya, penyusutan jumlah hujan dan peningkatan suhu menyebabkan paras air sungai menyusut antara 10 peratus hingga 40 peratus, sekali gus memberi kesan kepada aktiviti pertanian, penternakan, akuakultur dan pengeluaran getah.

“Berikutan itu, saya meminta semua jabatan dan agensi di kementerian saya untuk memberikan laporan penilaian situasi dan pendekatan yang dilaksanakan sebagai mitigasi bagi menghadapi kesan fenomena berkenaan.

“Berdasarkan penilaian setakat ini, didapati cuaca panas dan kering ketika ini memberi kesan yang signifikan kepada sektor pertanian dalam pelbagai cara.

“Ini termasuk penurunan paras air untuk pengairan, menjejaskan pertumbuhan tanaman akibat penurunan jumlah hujan dan potensi risiko penurunan produktiviti ternakan disebabkan kurang makanan,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya situasi dihadapi di Sabah ketika ini berada pada tahap yang serius dan memerlukan perhatian.

Berikutan itu, Jeffery berkata, kementeriannya sedang melaksanakan langkah mitigasi bagi menghadapi kesan buruk fenomena cuaca berkenaan dan memastikan daya tahan sistem pengeluaran makanan di negeri ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini