Tumpuan :
Nasional

Paras Sungai Golok meningkat, penyeludup dikesan bawa masuk barangan lalui pangkalan haram

FOTO: NSTP

RANTAU PANJANG: Meskipun kawalan ke atas pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dipertingkatkan, ia sedikit pun tidak penghalang kumpulan penyeludup daripada meneruskan aktiviti haram.

Malah, rata-rata penyeludup dilihat mengambil kesempatan sempena peningkatan paras Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand untuk meneruskan aktiviti haram itu.

Tinjauan BH di sepanjang sempadan menunjukkan penyeludup mula membawa masuk barangan melalui beberapa pangkalan haram di sepanjang sempadan di sini seawal jam 7 pagi.

Kumpulan rata-ratanya membabitkan anak muda itu akan membawa masuk beras Siam dan pelbagai barangan keperluan lain yang diperoleh daripada rakan pembekal dari negara jiran.

Barangan terbabit dilihat dipikul di atas bahu masing-masing sebelum dimuatkan ke dalam bot yang sedia menunggu, sebelum dibawa menyeberangi Sungai Golok dan mendarat di jeti haram di sebelah Malaysia di sini.

Berdasarkan pemantauan dilakukan petang, hampir 20 penyeludup dikesan menjalankan operasi di dua jeti haram di sini.

FOTO: NSTP

Mereka mengambil masa kurang lima minit untuk membawa masuk 250 kilogram (kg) beras Siam dari Thailand dan barangan lain.

Seorang penyeludup yang hanya mahu dikenali Amin berkata, dia dan rakan-rakannya mula membawa barangan keperluan dari Thailand seawal jam 9 pagi.

“Melihat sungai Golok semakin naik semalam, kami segera mengambil sampan kecil dan pergi ke seberang sungai untuk mengambil barangan Thailand.

“Tidak sampai lima minit, kami boleh membawa lebih daripada lima guni beras Siam seberat 25kg setiap satu,” kata lelaki berusia 25 tahun itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi BH berkata, penyeludup akan membawa masuk barangan keperluan dan makanan lain dari Thailand ke Kelantan melalui jeti-jeti haram yang terdapat di sepanjang sempadan.

“Biasalah mereka (membawa masuk barangan seludup) apabila (paras) sungai Golok naik.

“Mereka akan bawa apa sahaja barangan yang mendapat permintaan tinggi daripada penduduk tempatan dan menyeludupnya menggunakan jeti haram,” katanya.

Sebelum ini, pihak polis memaklumkan akan menahan sesiapa saja yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand berkuat kuasa 1 Disember depan.

Mereka akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pasukan Gerakan Am (PGA) turut memasang papan tanda di empat pangkalan haram di sini dan Tumpat, bagi mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak menyeberang ke Thailand secara haram.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini