comscore
Tumpuan :
Nasional

Parlimen: Keakraban Malaysia-China tak jejas kedaulatan negara

KUALA LUMPUR: Malaysia tegas mempertahankan kedaulatan negara walaupun menjalin hubungan diplomatik yang akrab bersama China.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, platform sedia ada akan digunakan untuk mengadakan rundingan atau perbincangan bersama China, terutama berkaitan isu di Laut China Selatan.

Katanya, kedua-dua negara ketika ini berunding bagi memuktamadkan kod tatakelakuan (COC) di Laut China Selatan.

“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatannya ke China baru-baru ini, ada menyentuh soal serantau dan antarabangsa, termasuk isu sedang diteliti kedua-dua negara.

“Malaysia juga akan memanfaatkan kerangka ASEAN sedia ada untuk berunding dan berbincang dengan China,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai pendirian negara susulan tindakan China dilihat memperkukuh kuasa maritim di Laut China Selatan, selain turut menghampiri kawasan luar pantai Sarawak.

Sementara itu, Datuk Mohamad berkata, Malaysia akan memanfaatkan kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, bagi memantapkan kerjasama dengan China dan negara anggota.

“Ia dimaklumkan Datuk Seri Ahmad Zahid ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang di Beijing, baru-baru ini,” katanya menjawab soalan tambahan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai dialong antara ASEAN dan Shanghai Cooperation Organisation.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini