comscore
Tumpuan :
Dunia

Parti pemerintah Jepun pilih pemimpin baharu gantikan Kishida

Foto: Reuters

TOKYO: Parti pemerintah Jepun akan memilih pemimpin baharu pada Jumaat untuk menggantikan Perdana Menteri, Fumio Kishida.

Pemilihan bertujuan memulihkan keyakinan pengundi yang terjejas akibat skandal dana rahsia, lapor Agensi Berita Kyodo.

Bekas Menteri Pertahanan, Shigeru Ishiba, Shinjiro Koizumi iaitu calon termuda Parti Demokratik Liberal (LDP) dan Menteri Keselamatan Ekonomi, Sanae Takaichi kini mendahului enam pesaing lain, berdasarkan kiraan undi dan analisis Kyodo News.

Tiada calon yang dijangka mendapat majoriti dalam pusingan pertama pengundian.

Pemimpin baharu LDP akan berdepan cabaran besar untuk memulihkan imej parti menjelang pilihan raya umum yang mungkin akan diadakan tidak lama lagi.

Kepimpinan mereka akan diuji dalam keadaan ekonomi Jepun yang masih rapuh dengan kos sara hidup meningkat, serta ancaman keselamatan dari negara-negara luar.

Pemilihan berlangsung hanya beberapa hari selepas Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ) iaitu parti pembangkang utama, memilih bekas Perdana Menteri,Yoshihiko Noda sebagai pemimpin baharu mereka.

Noda pernah berkhidmat sebagai perdana menteri Jepun selama setahun bermula 2011.

Ini adalah perubahan kepimpinan pertama LDP sejak 2021, dengan sembilan calon bertanding untuk merebut jawatan tertinggi itu.

Jika tiada calon memperoleh majoriti dalam pusingan pertama, dua calon yang memperoleh sokongan tertinggi akan bertanding dalam pusingan penentuan pada hari yang sama.

Dalam pusingan pertama, undi dari ahli akar umbi dijangka memainkan peranan penting kerana sokongan dalam kalangan ahli parlimen LDP agak terpecah. Setiap calon memerlukan sokongan 20 ahli Parlimen untuk memfailkan pencalonan.

Ishiba, 67, seorang pakar dalam bidang pertahanan dan pemulihan wilayah, popular dalam kalangan penyokong tempatan tetapi kurang mendapat sokongan dalam kalangan ahli Parlimen LDP.

Koizumi, 43, anak kepada bekas Perdana Menteri Junichiro Koizumi, bertanding buat kali pertama. Usianya dilihat sebagai kelebihan dan juga kelemahan, kerana ada yang berharap dia membawa pembaharuan tetapi ada yang meragui pengalamannya untuk mentadbir.

Takaichi, 63, disokong oleh puak konservatif yang sealiran dengan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe, dan berpeluang menjadi perdana menteri wanita pertama Jepun. Ini adalah kali kedua beliau bertanding dalam pemilihan kepimpinan parti.

Ketiga-tiga mereka berjanji akan membubarkan Dewan Rakyat untuk pilihan raya awal sebelum akhir tahun ini.

Calon lain termasuk bekas Menteri Keselamatan Ekonomi Takayuki Kobayashi, Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi, Menteri Luar Yoko Kamikawa, bekas Menteri Kesihatan Katsunobu Kato, Menteri Digital Taro Kono, dan Setiausaha Agung LDP Toshimitsu Motegi.

Sepanjang kempen selama 15 hari, kesemua calon menggariskan visi mereka untuk Jepun, sebuah negara yang semakin menua dengan pertumbuhan ekonomi yang rendah.

Kishida, yang menewaskan Takaichi dan Kono pada 2021, turut menggalakkan anggota Kabinetnya untuk bertanding.

Bagaimanapun, sesi perbahasan antara calon-calon tidak begitu mendalam kerana kekangan masa.- BERNAMA-KYODO

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini