comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PAS kecam perbuatan khianat terhadap Ahli Parlimen Beruas

 

Oleh Hilmi Abdul Malik

PETALING JAYA: PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan khianat ke atas kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham awal pagi tadi sehingga mengakibatkan beberapa kerosakan harta benda.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata perbezaan pendapat bukanlah ‘lesen’ bagi sesetengah pihak untuk bertindak melampaui batas apatah lagi hingga mengancam nyawa dan keselamatan.

“Jika dilihat dari sudut mana pun, perbuatan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali, bukan sahaja kerana bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga berlawanan dengan prinsip asas kehidupan bermasyarakat yang aman dan harmoni.”

“Justeru semua usaha mesti diambil bagi menyuraikan ketegangan yang mungkin berlaku akibat perbezaan-perbezaan itu dengan segera, adil dan bijaksana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, PAS menyambut baik tindakan segera pihak berkuasa membuka kertas siasatan berikutan serangan keganasan terhadap Ahli Parlimen Beruas itu.

PAS dalam masa sama berpandangan, semua pihak perlu lebih berhati-hati dalam menyuarakan pandangan yang boleh menggugat keharmonian yang seteruskan bakal mencetuskan api kemarahan.

Serangan sekitar jam 3.05 pagi di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar itu mengakibatkan tiga buah kenderaan milik Ngeh terbakar.

Loading...
Terkini