
SHAH ALAM: PAS memohon maaf berhubung insiden membabitkan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau, yang dilihat tidak dialu- alukan ke majlis Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang turut dihadiri Presiden PAS, baru-baru ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, walaupun Dominic kemudiannya dilaporkan menafikan dakwaan beliau ‘dihalau’, namun sebagai rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), kehadiran Dominic sewajarnya dihargai sebagai tetamu.
”PAS merakamkan rasa kurang selesa sekali gus meminta maaf atas insiden melibatkan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau, yang dilihat tidak dialu- alukan ke majlis Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang turut dihadiri oleh Presiden PAS baru-baru ini” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Takiyuddin, PAS sedar sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat tempatan susulan pencalonan Dominic sebagai calon PN bagi kerusi DUN Bayan Lepas yang merupakan kerusi majoriti Melayu.
Namun pencalonan itu katanya dibuat atas persetujuan kepemimpinan tertinggi parti dan setelah melalui semua proses serta melepasi syarat ditetapkan.
“Semua pihak dalam parti perlu menerimanya dengan hati terbuka selain meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti yang diketuai Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri.
“Justeru, saya menyeru ahli-ahli PAS berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), malah turut mencabar serta mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan Presiden”, katanya.
Semalam, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong dilapor menggesa PAS menjelaskan punca Dominic dihalang menghadiri ceramah PN di Sungai Dua.
Sebelum ini, pencalonan Dominic di DUN Bayan Lepas dikatakan mengecewakan akar umbi PAS yang menyifatkan kerusi kawasan itu tradisi milik parti berkenaan.