KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui Rapid KL hari ini melancarkan pas MyTourist bagi menyokong dan merancakkan aktiviti pelancongan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pas ini direka khas untuk memudahkan pelancong menikmati perkhidmatan pengangkutan awam di Kuala Lumpur.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dengan adanya pas ini, ia adalah satu langkah yang bijak dalam menyokong pertumbuhan industri pelancongan negara.
“Industri pelancongan salah satu penyumbang utama kepada pendapatan negara.
“Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Malaysia, sekali gus merancakkan sektor pelancongan kita,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran pas MyTourist di ibu negara hari ini.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri; Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah.
Pas MyTourist menawarkan perjalanan tanpa had melalui perkhidmatan rel dan bas kendalian Rapid KL.
la memberi manfaat dan peluang kepada pelancong tempatan dan luar negara untuk meneroka pelbagai destinasi ikonik di sekitar Kuala Lumpur, seperti Muzium Negara, Bukit Bintang, Dataran Merdeka serta kawasan budaya dan komersial utama lain.
Selain kemudahan perjalanan tanpa had, pas MyTourist turut menawarkan faedah tambahan menarik, termasuk diskaun di beberapa lokasi tumpuan pelancongan, rangkaian makanan dan minuman (F&B), pusat membeli belah serta taman tema terpilih seperti Petrosains, Menara Berkembar Petronas, Sunway Lagoon dan Menara Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Fadillah turut mengharapkan agar inisiatif seperti ini dapat meningkatkan jumlah ketibaan pelancong luar.
“Sekali gus menyokong usaha kerajaan dalam mencapai sasaran peningkatan sektor pelancongan yang mampan,” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah turut mengucapkan penghargaan kepada Prasarana sempena ulang tahun ke-20 jenama Rapid KL.
“Majlis sambutan pada hari ini bukan sahaja mencerminkan pencapaian dalam sektor pengangkutan awam, tetapi juga komitmen kita terhadap transformasi yang lebih mampan dan lestari untuk masa depan negara,” katanya.
Sementara itu, Loke ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata, untuk warganegara Malaysia, pas MyTourist ini berharga RM20 bagi sehari, RM30 (dua hari) dan RM40 (tiga hari).
Bagi bukan warganegara katanya, ia berharga RM40 (sehari), RM60 (dua hari) dan RM80 (tiga hari).
“Kelebihan pas MyTourist ini ada kerjasama strategik dengan lebih 30 syarikat lain termasuk restoran dan kedai yang sering dikunjungi oleh pelancong.
“Dengan adanya pas MyTourist ini, selain daripada perjalanan tanpa had, mereka juga boleh mendapat diskaun yang ada kerjasama strategik dengan pihak Rapid KL,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.