comscore
Tumpuan :
Nasional

Pasang ”log boom” untuk mengurangkan pencemaran Sungai Skudai  

Foto : NSTP

JOHOR BAHRU: Dalam usaha mengurangkan pencemaran Sungai Skudai di sini, kerajaan negeri akan melakukan pemasangan ‘log boom’ atau perangkap sampah di 12 lokasi panas (hotspot) yang menjadi punca pencemaran sungai terbabit.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah itu perlu diambil segera bagi memastikan proses pembersihan sungai berkenaan dapat diselesaikan pada September ini.

“Kita mahu semua pihak menggembleng tenaga supaya 12 ‘hotspot’ sampah di kawasan Sungai Skudai ini yang mana menjadi punca pencemaran berlaku ini dapat diambil tindakan.

“Kita perlu pastikan ada usaha dijalankan seperti contoh meletakkan ‘log boom’ di 12 lokasi di sungai ini dan pada masa sama kita minta ada penyelenggaraan dibuat setiap hari,” katanya ketika ditemui selepas menjayakan Program Johor Bersih @ Sungai di Sungai Skudai di sini, hari ini.

Untuk rekod, 12 ‘hotspot’ sampah yang dikenal pasti itu antaranya adalah di Taman Impian Emas, Jeti Nelayan Tampoi Utama, Kampung Pasir, Jeti Nelayan Pengkalan Rinting, Pulau Danga Bayu dan Kampung Bakar Batu.

Foto : NSTP

Selain itu, di kawasan Pusat Informasi Sungai Skudai, PPRT Melana Indah, Taman Damai Jaya, Kampung Laut Kampung Pertanian dan Kampung Separa serta Kampung Melayu Sengkang.

Beliau berkata, selepas Sungai Skudai, pihaknya akan bergerak ke proses pembersihan bagi dua lagi sungai yang termasuk dalam 10 sungai tercemar di Malaysia iaitu Sungai Kim Kim dan Sungai Tebrau.

“Kerajaan negeri akan terus laksanakan program untuk membersihkan sungai-sungai kita di negeri ini bagi memastikan pencemaran sungai dapat dikurangkan.

“Semestinya ia adalah satu tugas yang besar, tetapi saya percaya jika semua pihak bersama, sungai-sungai di Johor ini dapat bersihkan bermula dengan Sungai Skudai ini,” katanya.

Loading...
Terkini