comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Pasangan panas baran: Selamatkan diri jika menggugat nyawa – Perunding motivasi

Foto hiasan

PETALING JAYA: Panas baran merujuk kepada seseorang yang sukar mengawal kemarahan dan kadang-kala membawa kepada tindakan di luar kawalan.

Sikap panas baran yang tidak kena dengan tempat sangat memudaratkan. Ianya akan memberi kesan kepada kehidupan terutama dalam sesuatu perhubungan kerana pasangan juga ada hati dan perasaan.

Selalunya, kaum lelaki disifatkan lebih panas baran berbanding wanita, namun berdasarkan kajian sekumpulan penyelidik di Makmal MRC Biologi Molekul di Cambridge, wanita lebih panas baran. Data menunjukkan otak wanita mempunyai suhu 0.4 darjah Celsius lebih tinggi daripada lelaki.

Perunding motivasi, Ahmad Fadzli Ab Aziz berkata, marah itu sifatnya melindungi. Namun panas baran itu berlaku apabila kemarahan diluahkan bukan dengan cara atau sebab yang betul atau pada kadar yang keterlaluan.

“Secara ringkasnya, panas baran itu berlaku akibat daripada kelemahan mengawal emosi amarah,” katanya dalam program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI).

Perunding motivasi, Ahmad Fadzli Ab Aziz

Dalam aspek kehidupan berpasangan pula jelasnya, perasaan sayang itu tetap ada meskipun dalam kalangan individu yang sering panas baran.

“Kadang2 ‘effort’ menawan balik pasangan lebih baik dari sebelum berlaku kejadian, makanya dia (pasangan yang panas baran) bagi hadiah. Sebab itu kadang-kadang orang tak boleh keluar dari ‘cycle’ tersebut. Mereka menimbang, tak tahu nak ambil sayang ke baran. Dia bertahan sebab sayang, tapi sebab baran tu dia tak tahan.”

Penerimaan pasangan terhadap perkara itu juga membawa kepada ‘toxic positivity’ dan ‘in denial’.

“Dia sangat positif lah, sehingga melampaui realiti, terlalu positif sehingga menjadi toksik. Dia terus memberi harapan walaupun dah kena pijak, masuk hospital, keluar balik.”

Panas baran dalam perkahwinan juga membawa kepada elemen penderaan, contohnya mengasingkan pasangan daripada hubungan sekeliling, selain mengawal pasangan dari segi kewangan serta hubungan dengan orang lain.

Program WHI yang mengupas topik Baran Tapi Sayang

Mengakhiri perbincangan, Ahmad Fadzli berkata, “Pesanan kepada mereka yang panas baran di luar sana, anda sedang pertaruhkan sayang anda dengan baran. Maknanya sampai satu tahap, sayang akan berkurang.”

“Kita mungkin sayang, tapi percaya lah, isteri atau suami yang ada pasangan yang baran, sampai satu tahap sayang dia akan berada di tahap yang sangat-sangat rendah. Pada masa tu anda nak pujuk ke, anda buat lah segala-galanya, dia akan tawar hati dan tidak ada lagi peluang kedua dan ketiga.”

Beliau juga memberi pesanan kepada mangsa pasangan yang panas baran supaya meneliti semula kesan dan akibat, terutama kesan kepada anak-anak kerana mereka akan belajar mengurus emosi daripada ibu bapa mereka.

“Sampai bila kita nak mendedahkan kepada anak-anak bahawa inilah caranya? Sedangkan cara ni tak sepatutnya berlaku.”

Tambahnya, “Kalau sudah sampai tahap mencederakan, mengganggu, menggugat nyawa, maka Islam tidak zalim. Selamatkanlah diri.”

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini