comscore
Tumpuan :
Nasional

Pasangan tinggal di dalam kereta terima bantuan – ADUN Kajang

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KAJANG: Nasib sepasang suami isteri yang terpaksa tinggal di dalam kereta Proton Perdana akibat dihalau ekoran tidak membayar sewa rumah di Flat Taman Bukit Kenangan, Kajang mendapat perhatian ADUN Kajang, Cheong Kian Young.

Menurut beliau, setelah menerima maklumat berkenaan nasib yang menimpa pasangan suami isteri itu, pihak beliau telah memaklumkan kepada agensi yang berkaitan untuk memohon bantuan.

“Kini, suami isteri tersebut sudah mendapat rumah sewa baru di lokasi berdekatan”

“Pada peringkat awal, pejabat ADUN Kajang akan memberi bantuan kewangan sebanyak RM1,000 sebagai bantuan sewa premis baru” ujar Kian Young menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Kian Young berkata, agensi berkaitan juga akan memberi bantuan susulan selepas pasangan suami isteri ini berpindah ke kediaman baru.

Justeru, beliau juga memohon agar tiada sebarang spekulasi dibangkitkan kerana khuatir ianya akan menganggu kehidupan pasangan tersebut.

Ketika tinjauan dilakukan Buletin Tv3, mendapati bahawa kawasan sekitar kereta pasangan berkenaan juga tidak seperti sebelumnya.

Kebanyakkan sampah sarap telah hampir dibersihkan dan di maklumkan kerja pembersihan di kawasan sekitar itu akan dilakukan secara berperingkat.

Terdahulu, media melaporkan kegagalan membayar sewa menjadi punca sepasang suami isteri terpaksa tinggal di dalam kereta Proton Perdana akibat dihalau dari kediaman flat didiami sejak dua minggu lalu.

Tindakan pasangan itu yang menjadikan kereta mereka sebagai ‘rumah’ di Taman Bukit Kenangan, di sini, menarik perhatian ramai.

Malah kereta pasangan itu turut dikelilingi barangan peribadi selain ditutup dengan beg plastik lama dan kadbod.

Kedudukan kereta itu bersebelahan dengan kawasan tong sampah mencetuskan ketidakselesaan kepada penduduk berhampiran.

Loading...
Terkini