comscore
Tumpuan :
Nasional

Pasar Borong Selangor diserbu, 35 PATI diberkas

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 35 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu Operasi Penguatkuasaan ‘Op Sapu’ di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, Selangor awal pagi semalam.

Kesemua PATI yang berusia 21 hingga 52 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dan dipercayai bekerja di pasar borong tersebut sebagai pekerja am.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dalam satu kenyataan memaklumkan operasi dijalankan sepasukan 96 orang pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Anti – Pemerdagangan Manusia serta Pasukan Khas Taktikal Khas (PASTAK) Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.

Dalam operasi itu, seramai 95 orang warga asing telah diperiksa.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 17 lelaki  warga Myanmar, 13 lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga India, dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Yemen.

Semasa serbuan dilakukan, pasukan operasi berdepan dengan PATI yang cuba melarikan diri dari kepungan namun ada yang sempat melarikan diri memandangkan keadaan gelap serta cuaca hujan.

Antara yang diperiksa adalah 42 lelaki dan 3 perempuan warganegara Myanmar yang memegang kad UNHCR.

Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut

Loading...
Terkini