comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pasca banjir: Lumpur semakin mengering, sukar dibersihkan 

 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

HULU DUNGUN: Cuaca baik dan matahari mula menyinar di Kampung Shukor, Hulu Dungun.

Tetapi jiwa penghuni kampung ini masih sugul dan rata-rata tiada daya kudrat lagi untuk membersihkan sisa banjir.

Lumpur tebal di sekitar kampung dan di dalam rumah mangsa banjir mula mengering dan sukar dibersihkan.

Seorang pengusaha tapak perkhemahan, kebun sawit dan penternakan kambing, sekelip mata hilang tiga punca pendapatan akibat banjir besar tiga hari lalu.

Lebih menyedihkan rumahnya kini dipenuhi lumpur tebal dan sukar dibersihkan.

Menurut Tengku Ismanizam Tengku Ishak, 56 tahun, dia hanya mampu bersabar dan perlu kuat untuk bangkit semula.

“Masalah rumah tak boleh orang tolong dan sebab benda di rumah kena bersih sendiri cuma kini ada masalah kewangan teruk sebab bukan rumah sahaja rosak dari segi pendapatan pun sama.

“Macam saya ini kambing, sawit dan camp site semua tak boleh berjalan dalam dua tiga bulan takleh keluar pendapatan dan masalah lumpur tak boleh fikir dah terpaksa hadap jelah”, katanya.

Sementara itu, kisah pilu lapan sekeluarga berlindung di bahagian dapur ketika banjir yang disiarkan Buletin Utama malam tadi turut mendapat perhatian ramai.

Jalina Abdullah, 42 tahun, berkata, ramai insan prihatin tampil menghulurkan bantuan dan ada juga datang memberi sokongan moral.

“Setakat ini bantuan makanan dan pakaian ada orang hantar dan bantu.

“Ada juga sukarelawan bomba angkat barang angkat dalam rumah dan tengok sama ada boleh pakai ke tak boleh. Sebenarnya kami dah tak larat nak bersihkan rumah sudah tiada daya dan tenaga sekarang mengharapkan anak-anak bantu”, ujarnya.

Banjir besar yang melanda Kampung Shukor pada khamis lalu menyebabkan tiga rumah hanyut dan 20 buah rumah di kampung itu mengalami kerosakan dan tidak selamat lagi untuk dihuni.

Sebuah daripadanya hanya tinggal tangga serta tiang rumah.

Kejadian itu disifatkan bencana terburuk pernah dilalui penduduk dalam tempoh 60 tahun di kampung berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini