Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Jalan Penampang-Tambunan masih ditutup kepada semua lalu lintas selepas laluan Jalan Persekutuan berkenaan terputus akibat jalan runtuh di Kilometer 31.9.
Menerusi notis dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, semua pengguna jalan raya tidak dapat melalui jalan raya berkenaan dari kedua-dua arah sehingga kerja pembinaan lencongan siap.
Jalan Penampang-Tambunan masih ditutup kepada semua lalu lintas selepas laluan Jalan Persekutuan berkenaan terputus akibat jalan runtuh di Kilometer 31.9. pic.twitter.com/4rAl41LcNa
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) July 3, 2024
“Orang awam adalah dimaklumkan bahawa berlaku runtuhan jalan pada 1 Julai 2024 di KM31.9 Jalan Penampang – Tambunan (Jalan Persekutuan diwartakan sebagai Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom) yang telah menyebabkan jalan raya di lokasi tersebut putus sepenuhnya dan tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.
“Orang awam yang hendak melakukan perjalanan di antara Penampang -Tambunan dan sebaliknya dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif sehinggalah pembinaan lencongan sementara disiapkan.
Sebarang Kesulitan adalah amat dikesali,” menurut notis itu.
Laluan alternatif yang dicadangkan JKR ialah Jalan Penampang – Lok Kawi – Kimanis – Keningau-Tambunan dan Jalan Penampang – Lido – Telipok-Tamparuli Kundasang-Ranau-Tambunan.
Bagaimanapun, jarak perjalanan di laluan alternatif itu masing-masing 168 kilometer dan 151 kilometer, berbanding hanya 64 kilometer di Jalan Penampang-Tambunan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa