comscore
Tumpuan :
Nasional

Pastikan anak terima pendidikan wajib Tahun Satu – KPM

Azman (tengah) bercakap kepada media selepas Majlis Komensmen Kali Ke-23 Institut Aminuddin Baki di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai, hari ini. – FOTO: NSTP

NILAI: Ibu bapa yang gagal menghantar anak berusia tujuh tahun untuk mendapatkan pendidikan di Tahun Satu dalam sistem pendidikan arus perdana boleh dikenakan tindakan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai dasar pendidikan wajib yang mana anak-anak yang berusia tujuh tahun perlu mengikuti pendidikan di Tahun Satu.

Katanya, perkara itu telah dikuatkuasakan sekian lama dan KPM memberi peluang seluas-luasnya kepada anak warganegara untuk menerima pendidikan.

“Jadi, mana-mana ibu bapa yang gagal untuk menghantar anak mereka boleh diambil tindakan yang sewajarnya.

“Dalam konteks kes membabitkan kegiatan mengeksploitasi kanak-kanak dan remaja, kes ini masih lagi dalam siasatan pihak polis.

“Untuk itu kementerian akan memberikan seluas-luasnya peluang untuk kanak-kanak ini menerima pendidikan dalam sistem pendidikan kita.

“Jadi, kita tunggu dulu apa hasil siasatan polis dan di mana ruang serta peluang yang boleh kita bantu bagi memastikan anak-anak kita ini mendapat pendidikan sebagaimana kanak-kanak yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menyempurnakan Majlis Komensmen Institut Aminuddin Baki (IAB) Kali Ke-23 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Seramai 1,375 orang graduan National Professional Qualification for Educational Leaders ((NPQEL) 2022 dan 2023 yang bakal dilantik sebagai Pengetua dan Guru Besar menerima sijil masing-masing.

Yang turut hadir Pengarah IAB, Ab Aziz Mamat.

Azman mengulas hasil tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Global yang dijalankan baru-baru ini apabila berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini