PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan menguruskan ekonomi MADANI secara serius termasuk memastikan kadar inflasi kekal rendah sekali gus membantu meringankan beban rakyat.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan kerajaan akan berusaha untuk memastikan supaya tidak berlaku pembaziran dalam kerajaan.
“Syukur Alhamdulillah, sejak kita uruskan ekonomi MADANI ini, kita lihat pertumbuhan ekonomi naik tinggi 5.9 peratus, inflasi terkawal.
“Saya baru balik dari luar negara bertemu Presiden Russia (Vladimir Putin), ada soal jawab dan orang tanya inflasi (kita) dua peratus, ada beberapa bidang makanan tiga peratus…. itu pun jenuh kita hendak kawal.
“Namun kita akan memberi tumpuan kepada strategi untuk menangani kos sara hidup rakyat dalam pembentangan Belanjawan 2025 Oktober depan, walaupun inflasi rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024 dan Pelancaran Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan serta Kempen Perangi Gula di Pantai Batu 1, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.
Mengulas lanjut berkaitan inflasi, Anwar membandingkan kadar di Malaysia dengan beberapa negara lain yang jauh lebih tinggi.
“Di negara lain terutama di rantau ini seperti Thailand, Singapura dan Indonesia, inflasi mereka lebih tinggi. Russia lapan peratus, Turkiye pula inflasi mereka 40 peratus.
“Itu sebabnya kita kena urus ekonomi ini secara serius dan di antara yang kita bincangkan termasuk dalam soal kesihatan ini ialah jangan membazir.
“Untuk itu, saya akan jadikan strategi untuk menangani kos sara hidup rakyat dalam pembentangan Belanjawan 2025 Oktober depan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.