comscore
Tumpuan :
Nasional

Pastikan kesahihan Visa Furada sebelum terima tawaran tunai haji

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman bergambar bersama wakil media ketika Majlis Pelepasan Petugas Haji di KLIA. FOTO: NSTP

SEPANG: Orang ramai yang ditawarkan menunaikan ibadah haji menggunakan Visa Furada perlu memastikan kesahihannya terlebih dahulu bagi mengelak ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata Visa Furada ini tidak semudah untuk diperolehi dan diniagakan oleh pihak tertentu sehingga mempunyai 100 hingga 200 visa.

Menurutnya, visa ini dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi dan Jabatan Haji Arab Saudi untuk diberikan kepada pihak tertentu yang memohon.

Katanya, jemaah yang ingin menunaikan haji dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan syarikat yang menawarkan ibadah haji selain menggunakan Visa Haji dikeluarkan kerajaan Arab Saudi.

“TH sudah meluluskan 25 syarikat pengendali haji yang dilesenkan di bawah TH untuk menguruskan jemaah haji tahun ini dan sekiranya tidak berdaftar dan dilesenkan di bawah TH risikonya adalah sangat tinggi,” katanya kepada pemberita ketika hadir menyantuni petugas haji di Hotel Movenpick di sini hari ini.

Kenyataan Syed Saleh itu merujuk kepada pertanyaan media selepas dimaklumkan terdapat satu penerbangan ke Arab Saudi menggunkan Visa Furada oleh jemaah Malaysia untuk menunaikan ibadah haji hari ini.

Seramai 150 petugas dari TH termasuk 14 petugas media akan berlepas ke Arab Saudi jam 9 malam ini bagi membuat persiapan awal operasi musim haji 1445H/2024M.

Syed Saleh berkata berdasarkan kes sebelum ini, ramai jemaah yang mendakwa menggunakan Visa Furada terkandas di negara ini lagi dan bagi yang berjaya ke Tanah Suci, ada yang mendakwa dikenakan wang tambahan oleh syarikat pengendali.

Yang lebih teruk apabila kebajikan mereka ketika di Tanah Suci diabaikan dan pengendali menghilangkan diri.

Menurut Syed Saleh, kerajaan Arab Saudi juga melihat perkara ini sesuatu yang serius dan menekankan supaya individu yang ingin mengerjakan haji agar tidak menggunakan visa selain visa haji.

Katanya, terdapat beberapa visa dikeluarkan kerajaan Arab Saudi seperti visa pelancong, umrah, kerja, perniagaan dan kesemua ini tidak boleh digunakan untuk mengerjakan ibadah haji kerana melanggar undang-undang kerajaan Arab Saudi.

“Setakat ini masih belum ada jemaah haji Malaysia diterbangkan menggunakan Visa Furada dan dijangka akan bermula selepas dua minggu penerbangan jemaah visa haji,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini