comscore
Tumpuan :
Nasional

Pastikan tiada ketirisan, penyelewengan minyak diesel bersubsidi – Pengerusi LKIM

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan negeri diingatkan supaya memastikan tiada ketirisan dan penyelewengan minyak diesel bersubsidi untuk nelayan dengan penyelarasan subsidi diesel yang dilaksanakan di Semenanjung.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil meminta semua PNK tidak memandang ringan perkara itu kerana subsidi yang diberikan kerajaan amat penting untuk kemudahan nelayan.

Katanya, selain harga yang lebih rendah bagi mengurangkan kos nelayan turun ke laut, bekalan minyak yang mencukupi juga sangat penting untuk operasi nelayan di seluruh negara.

“Alhamdullilah, kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak diesel kepada nelayan pada harga RM1.65 seliter berbanding harga bersubsidi RM2.15 seliter di stesen minyak dan harga pasaran tanpa subsidi yang mencecah hingga RM5 seliter.

“Bekalan minyak mesti cukup untuk menjamin operasi nelayan dan atas sebab itu Persatuan Nelayan mesti memastikan jualan minyak dalam keadaan baik dan tiada ketirisan atau penyelewengan berlaku.

“Banyak PNK bergantung kepada jualan minyak, kalau kerajaan tarik balik subsidi, nanti apa akan jadi kepada persatuan. Jadi, jangan anggap perkara ini kecil, jaga elok-elok jualan minyak jangan ada ketirisan,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH), di sini, malam tadi.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil (tengah) menyaksikan penyerahan zakat NEKMAT untuk PNK Sabah yang diterima Pengerusi PENGASAH, Datuk Seri Arsit Sedi (kiri) pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PENGASAH Ke-27 di Kota Kinabalu. -Foto NSTP

Yang turut hadir Pengerusi PENGASAH, Datuk Seri Arsit Sedi dan Pengarah LKIM Sabah, Mohd Jamil Abdullah.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz mengingatkan nelayan supaya tidak menganggap diri mereka sebagai pekerja kelas kedua hanya kerana bekerja sebagai penangkap ikan.

Katanya, tanggapan negatif itu antara punca yang menyebabkan nelayan menjadi lemah dan ramai masih tergolong sebagai miskin atau hanya berada dalam kategori B40.

“Kita mahu nelayan maju dan atas sebab itu nelayan perlu melakukan perubahan minda untuk meningkatkan kekuatan diri dan memajukan golongan nelayan. Sudah-sudahlah orang cakap nelayan ini miskin dan B40, kita kena ubah persepsi ini,” katanya.

Beliau berkata, perubahan hidup nelayan boleh dilaksanakan menerusi jika persatuan nelayan melaksanakan program yang dapat menjana pendapatan yang boleh dimanfaat nelayan, selain menyediakan komponen sokongan perikanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini