
MEMBAKUT: Satu pasukan khas ditubuhkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bagi mencari jalan menangani isu minat pelajar terhadap bidang sains di negara ini yang dilaporkan merosot kepada 40 peratus, tahun lalu berbanding 66.7 peratus pada 2019.
Menurut Timbalan Menterinya Datuk Arthur Kurup, pasukan khas terbabit turut dianggotai Kementerian Pendidikan (KPM).
“Perdana Menteri sebelum ini menyuarakan kebimbangan berkenaan bilangan pelajar yang memasuki aliran sains semakin menurun.
“Jadi, untuk menangani masalah ini kita telah wujudkan satu pasukan khas yang dianggotai Mosti dan KPM. Kita juga membuat beberapa kajian.
“Sebagai contoh, antara salah satu usaha kita meningkatkan lagi minat pelajar adalah dengan menjadikan subjek Sains itu lebih praktikal, tidak terhad (diajar) secara teori dan tidak dilihat sebagai subjek yang membosankan,” katanya selepas program Kembara Sains Borneo Siri Dua, 2023 di Dewan Kesenian Islam, di sini, hari ini.
Arthur juga memaklumkan pasukan khas terbabit telah bermesyuarat sebelum ini.
“Kita akan mengadakan lebih mesyuarat lagi bagi membentangkan beberapa hasil kajian.
Hasil kajian dan juga cadangan akan kita umumkan pada masa akan datang,” katanya.