comscore
Tumpuan :
Nasional

Pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan selamat, operasi ditangguhkan – MINDEF

Mohamed Khaled berkata sebarang keputusan membawa balik anggota MALBATT tertakluk kepada kelulusan UNIFIL

PETALING JAYA: Semua anggota pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang ditugaskan di Lubnan berada dalam keadaan selamat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dan kerosakan aset berlaku terhadap pasukan itu.

Katanya, susulan situasi yang semakin meruncing di selatan Lubnan ketika ini, kesemua anggota MALBATT tidak dibenarkan untuk melaksanakan operasi rondaan dan pergerakan logistik.

“Kesemua pasukan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang beroperasi di Selatan Lubnan, telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing.

“Mengambil kira keselamatan petugas, Markas UNIFIL telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu (bunker drill) mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal,” katanya.

Mengulas berkenaan rancangan membawa pulang anggota MALBATT 850-11 ke Malaysia, Mohamed Khaled berkata keputusan itu tertakluk kepada kelulusan UNIFIL.

“Penarikan balik pegawai dan anggota pasukan MALBATT 850-11 ke Malaysia adalah tertakluk kepada kelulusan UNIFIL berdasarkan tahap keselamatan dan ancaman di dalam kawasan operasi.

“Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau situasi di Selatan Lubnan dan akan mengemaskini sebarang perkembangan melibatkan pasukan MALBATT 850-11,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini