comscore
Tumpuan :
Nasional

Pasukan petugas khas ditubuh tangani isu curi elektrik di Sabah  

KOTA KINABALU: Pasukan petugas khas tangani isu curi elektrik oleh penghuni setinggan ditubuh di Sabah bagi menangani masalah sering terputusnya bekalan elektrik di negeri itu.

Perkara itu diumum Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya susulan laporan aduan rakyat Sabtu lalu yang memaparkan kegiatan penyambungan bekalan elektrik secara haram mengundang bahaya serta telah meragut 7 nyawa sejak 2016.

Secara eksklusif, kru TV3 dibawa ke lokasi tersembunyi bawah tanah berlakunya kegiatan haram berkenaan di sini.

Pembongkaran ’port’ berlakunya kegiatan curi elektrik itu kami dapat rakamkan menerusi tinjauan Datuk Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri Sabah bersama  wakil rangkaian Media Prima Sabah dan Sarawak, Mohd Yazzer Mahmun.

Ia turut disertai kakitangan Sabah Electricity Sendirian Berhad (SESB), polis dan pihak berkuasa tempatan.

Penyambungan elektrik secara haram bukan saja berlaku di kawasan hutan dan semak samun, malah disembunyikan di bawah tanah melalui saluran parit dan longkang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Mereka mendirikan rumah setinggan secara kecil- kecilan tetapi sekiranya tidak dibanteras, maka rumah-rumah tersebut berkembang dari semasa ke semasa. Jadi kita di pihak kerajaan negeri amat mengalu-alukan ‘task force’ tersebut ditubuhkan dengan tujuan untuk memantau dari semasa ke semasa tentang risiko pencerobohan tanah-tanah terbiar ataupun tanah-tanah negeri yang menjadi tumpuan kepada setingan-setinggan ini,” kata Shahelmey.

11 Mac lalu, Aduan Rakyat mengetengahkan kewujudan lebih 30,000 setinggan menyumbang kepada berleluasanya kegiatan curi elektrik di negeri bawah bayu.

25 peratus gangguan bekalan elektrik di Sabah berpunca daripada aktiviti penyambungan elektrik secara haram.

Inisiatif membanteras kegiatan curi elektrik ini dengan mematahkan sambungan secara haram itu amat dihargai penduduk setempat.

“Membawa harapan bagi pihak masyarakat agar tindakan dari Yang Berhormat akan menurunkan arahan kepada pegawai dan jabatan-jabatan yang berkaitan untuk mengatasi masalah elektrik yang berlaku di sini. Jadi saya berterima kasih atas usaha menteri ini untuk turun melihat sendiri masalah ini, ” kata Awang Ramlah Sahil yang merupakan penduduk di Kota Kinabalu.

Emelkan aduan anda beserta nombor telefon untuk dihubungi ke aduan [email protected]

Aduan Rakyat, TV3 ambil berat.

Loading...
Terkini