comscore
Tumpuan :
Nasional

Pasukan Petugas Khas Untuk Teliti Masalah Lapangan Projek Pan Borneo

Fadillah Yusof menunjukkan perkembangan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengenal pasti masalah di lapangan yang menjejaskan projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1 Sarawak.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, turut serta di dalam pasukan petugas itu, perunding yang terbabit melaksanakan projek berkenaan.

Menurutnya, beberapa masalah timbul ke atas projek bernilai RM16 bilion itu sehingga menyebabkan kelewatan pelaksanaannya.

“Antara masalah yang dihadapi ialah pergerakan tanah di cerun tinggi yang menjejaskan keselamatan seperti di Bukit Begunan, Sri Aman dan berikutan masalah itu, pembinaan jalan di laluan bukit berkenaan terpaksa direka bentuk semula.

“Sebab itu pasukan petugas khas ditubuhkan bagi membolehkan kita mencari penyelesaian segera masalah yang berlaku untuk memastikan projek dapat disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Koordinasi Projek Utama KKR dan JKR Sarawak di sini, hari ini.

Fadillah berkata, masalah lain yang dihadapi dalam pelaksanaan projek lebuh raya sepanjang 786 kilometer itu ialah pemindahan paip air di Miri yang menyebabkan kelewatan projek di kawasan berkenaan.

Selain itu katanya, masalah kekurangan pekerja dan bahan binaan juga harus sentiasa diberi perhatian.

“Inilah antara masalah yang perlu diperhalusi oleh pasukan petugas khas itu kerana matlamat kita ialah untuk menyiapkan projek itu secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, ketika ini projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1 Sarawak sudah 88 peratus siap dengan lebih separuh sudah dibuka kepada laluan kenderaan.

Projek mega itu yang bermula pada tahun 2015 dijadualkan siap sepenuhnya dalam suku pertama tahun depan. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini