comscore
Tumpuan :
Nasional

Pasukan SAR alami kesukaran akibat cuaca sejuk di Turkiye

Foto: REUTERS

KUALA LUMPUR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang tertimbus akibat gempa bumi yang berlaku awal pagi semalam mengalami kesukaran berikutan musim sejuk yang kini melanda Turkiye dan Syria.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, berkata suhu di beberapa kawasan dijangka turun hampir paras beku dan situasi itu sekali gus memburukkan lagi keadaan terutama kepada mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dan kehilangan tempat tinggal.

“MyCARE sebelum ini sudah menghantar bantuan seperti alat pemanas dan pakaian musim sejuk, tetapi kami percaya susulan kejadian gempa, keperluan mendesak terutama alat pemanas amat diperlukan.

“Selain itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menjangkakan terdapat peningkatan keperluan bagi penjagaan trauma untuk merawat mangsa cedera dan menyokong keseluruhan sistem kesihatan di kawasan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan ribuan penduduk maut dan cedera akibat tertimbus dalam runtuhan bangunan apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda tenggara Turkiye pada jam 4.17 pagi (waktu tempatan), semalam.

Gempa bumi terburuk dalam tempoh lebih 100 tahun di Turkiye itu dikatakan meranapkan puluhan bangunan di beberapa bandar dan turut menyebabkan kerosakan teruk di negara jiran, Syria.

Di Turkiye, kawasan yang terjejas teruk adalah di Gaziantep, Kahramanmaras, Sanliurfa, Osmaniye, Diyarbakir dan Malatya, manakala di Syria membabitkan Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus. Gegaran itu turut dirasai di Lubnan, Syria, Cyprus dan Mesir.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan menghantar bantuan awal sebanyak RM200,000 yang akan menampung kos perbelanjaan membabitkan keperluan asas mangsa tragedi terbabit.

“Bantuan awal ini dapat menampung sekurang-kurangnya 1,000 mangsa di wilayah yang terjejas di Sanliurfa dan barat laut Syria (Afrin dan Aleppo).

“Sasaran MyCARE bagi keseluruhan bantuan kecemasan gempa ini ialah RM1 juta bagi menampung bantuan keperluan asas bagi 3,000 mangsa yang terbabit.

“Keperluan mendesak ketika ini adalah makanan yang siap dimasak, pek makanan sedia dimakan, khemah dan alat pemanas,” katanya.

Sehubungan itu, Kamarul Zaman berkata, bagi mereka yang berminat menyalurkan bantuan boleh melayari laman web https://mycare.qrd.by/turkiyeemergency. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini