KUALA LUMPUR: Pasukan sorak Malaysia mencipta sensasi apabila muncul juara dalam kategori junior dan naib juara kategori senior di pentas Piala Dunia ICU di Korea.
Pasukan junior kebangsaan yang terdiri daripada 19 atlet berusia di antara 15 hingga 19 tahun dinobat selaku pemenang selepas melakukan rutin yang sempurna sekali gus mengatasi Sekolah Menengah Wuhan Cogdel Cranleigh dari China.
Persembahan pasukan senior juga tidak mengecewakan apabila skuad yang terdiri daripada 20 atlet berumur di antara 19 hingga 34 tahun, membawa pulang gelaran naib juara dibelakang pasukan Taiwan.
Bagi Presiden Persatuan Sorak dan Daftar Malaysia (CHARM), Lim Chin Hau, ucapan terima kasih yang tidak berbelah bahagi ditujukan kepada semua pihak yang terlibat.
“Kemenangan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa dedikasi atlet, jurulatih, dan sokongan luar biasa dari penaja kami.
“Kami sangat berterima kasih kepada semua penaja kami atas kemurahan hati dan kepercayaan mereka terhadap Team Malaysia, serta kepada ibu bapa dan penyokong yang berdiri bersama kami sepanjang perjalanan ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.