comscore
Tumpuan :
Nasional

Pasukan Udara Tentera Darat bakal terima dua Black Hawk

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata pesawat buatan Amerika Syarikat ini akan digunakan oleh Pasukan Udara Tentera Darat

KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka menerima dua daripada empat helikopter jenis Black Hawk pada hujung tahun ini.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, pesawat buatan Amerika Syarikat berkenaan akan digunakan oleh Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

Menurutnya, TDM akan menghantar juruterbang ke Turki untuk menjalani latihan simulator Black Hawk sebelum helikopter itu dibawa ke Malaysia.

“Kami akan menghantar juruterbang (PUTD) pada Oktober ini agar latihan simulator Black Hawk dapat dikendalikan sepenuhnya oleh juruterbang secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat ke-29 di Dataran PTD Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan tender perolehan meriam artileri 155MM jenis Self Propelled Howitzer (SPH) buatan Turki untuk TDM, Mohammad berkata, proses dokumentasi perolehan 18 unit SPH dijangka selesai pada Disember ini.

“TDM sedang dalam proses perolehan beberapa sistem persenjataan bagi mengukuhkan kesiapsiagaan.

“SPH antara projek yang menjadi keutamaan tentera darat dalam meningkatkan keupayaan elemen kuasa tindakan dan kesiagaan pasukan Rejimen Artileri Diraja,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini