comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PATI rempuh kepungan Imigresen, 90 dicekup

 

MANJUNG: Memanjat bumbung, bersembunyi di sebalik pintu bilik serta merempuh anggota operasi yang membuat kepungan bagi mengelak daripada dicekup anggota Jabatan Imigresen Perak.

Itu antara tindakan yang dilakukan 104 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk cuba melarikan diri ketika diperiksa dalam serbuan yang dijalankan di sekitar kawasan premis perniagaan dan kawasan perumahan di daerah Manjung di sini, kelmarin.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Perak, Hapdzan Husaini, berkata operasi melibatkan 31 orang pegawai imigresen dari Bahagian Penguatkuasa JIM Negeri Perak itu adalah hasil maklumat orang awam dan risikan pihaknya.

Foto : Ihsan Jabatan Imigresen Malaysia

Menurutnya, operasi dikenali sebagai Ops Sapu, Selera, Kutip dan Belanja itu dijalankan selama enam jam bermula kira-kira jam 6.30 petang Jumaat dan berakhir pada jam 12.30 tengah malam Sabtu.

“Seramai 104 orang warga asing diperiksa terdiri daripada pelbagai negara. Daripada jumlah itu, 90 PATI berusia setahun hingga 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Pakistan, dua lelaki warga Nepal, seorang lelaki warga India, seorang wanita warga India, seorang wanita warga Indonesia dan 44 lelaki, 21 wanita, seorang kanak-kanak lelaki serta empat kanak-kanak perempuan warga Myanmar yang berada di lokasi berkenaan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Hapdzan berkata, setibanya anggota operasi di lokasi tangkapan, serbuan dan pemeriksaan menyeluruh terhadap warga asing dilakukan.

“Ketika pemeriksaan, terdapat beberapa orang warga asing cuba mengelak daripada pemeriksaan dengan melarikan diri, memanjat bumbung dan bersembunyi di sebalik pintu bilik serta terdapat beberapa orang warga asing merempuh anggota operasi yang membuat kepungan.

“Namun dengan kecekapan dan komitmen yang diberikan oleh anggota operasi, cubaan melarikan diri itu berjaya dipatahkan,” katanya.Beliau berkata, kesemua warga asing ditangkap dan ditahan bagi tujuan siasatan.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa, Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah serta turut disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan juga di bawah Akta Pasport 1966.

“Siasatan juga akan diteruskan ke atas pemilik kediaman dan pemilik premis perniagaan yang membenarkan PATI berada di dalam premis mereka,” katanya.

Loading...
Terkini