comscore
Tumpuan :
Nasional

PATI sedang bermain bola sepak dicekup

Selepas pemeriksaan dilakukan, tiga lelaki Bangladesh dan 10 daripada Myanmar berusia antara 20 dan 50 tahun ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah di padang bola Kampung Tok Jembal, dekat sini. FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Sekumpulan warga asing tidak sempat menamatkan perlawanan bola sepak apabila dicekup Jabatan Imigresen, Operasi Bersepadu Penguatkuasaan (PeWA) selama dua hari, semalam.

Difahamkan, sekumpulan warga asing seramai 59 orang termasuk lima kanak-kanak lelaki ke padang bola di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus, di sini, untuk menyaksikan pertandingan bola sepak dianjurkan, kira-kira jam 5.30 petang.

Ketika serbuan dilakukan, ada antara warga asing yang lengkap memakai jersi cuba melarikan diri, tetapi gagal selepas kawasan itu dikepung pegawai dan anggota penguatkuasa Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri, Azhar Abd Hamid, berkata selepas pemeriksaan dilakukan, tiga lelaki Bangladesh dan 10 daripada Myanmar berusia antara 20 dan 50 tahun ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, warga asing tanpa izin (PATI) itu ditahan mengikut Seksyen6 (1) (c), Akta Imigresen 1959/63 dan dihantar ke Depot Imigresen Ajil.

“Serbuan dan tangkapan warga asing yang sedang bermain bolasepak serta menyokong pasukan itu dilakukan selepas risikan dan maklumat orang ramai,” katanya kepada media di Pejabat JIM negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Pengarah JIM negeri, Mat Amin Hassan.

Sementara itu, Azhar berkata, seramai 59 warga asing yang menaiki kenderaan tanpa lesen turut ditahan dalam operasi Pewa bertujuan membanteras kegiatan pemanduan warga asing tanpa lesen.

Katanya, warga asing tersebut ditahan ketika membawa kenderaan di beberapa lokasi termasuk di daerah Kuala Nerus.

Loading...
Terkini