Oleh: Juliana Sharin
ALOR SETAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ia susulan kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.
Menteri Besar Kedah itu memaklumkan warkah permohonan maaf itu sudah dihantar kepada baginda.
“Patik, Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor. Atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor sepertimana yang telah dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Tuanku,” katanya.
Datuk Seri Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman.
“Patik menyedari bahawa kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Tuanku dan patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut.
“Patik ingin menyembah maklum kepada Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini,” tambahnya.
Beliau juga mengakui dan sedar, dirinya tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan ketika berada di negeri orang khususnya Selangor.
“Patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan sepertimana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.
Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada Tuanku Sultan Selangor serta Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-kata patik,” katanya lagi.
Beliau turut berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan setiap ucapannya selaras dengan adab sopan budaya Melayu yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan institusi Raja.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.