comscore
Tumpuan :
Nasional

Paul Stadlen Lepaskan Wang Lebih RM7.1 Juta Kepada 1MDB

Kes bekas penasihat media Datuk Seri Najib Tun Razak, Paul Geoffrey Stadlen yang menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, ditarik balik selepas beliau bersetuju melepaskan secara rela hati keseluruhan wang berjumlah RM7,192,873.84 kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, wang tersebut akan dipindahkan ke akaun amanah 1MDB.

SPRM menjelaskan bahawa berdasarkan persetujuan Jabatan Peguam Negara, satu penyelesaian telah dipersetujui melibatkan Paul Stadlen dan penasihat undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang telah dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) membabitkan wang berjumlah RM15 juta. 

“Perkara itu diputuskan setelah mengambil kira bahawa jumlah itu adalah wajar untuk dilucut hak. Sehubungan itu, kes terhadap Stadlen ditarik balik.

“Jabatan Peguam Negara turut memutuskan tindakan kompaun di bawah Seksyen 92 (1) Akta 613 berjumlah RM590,587.26 dikenakan terhadap Mohd Hafarizam setelah mengambil kira serta mempertimbang alasan-alasan yang munasabah, termasuk lanjutan daripada penarikan balik kes terhadap Stadlen. Pertuduhan terhadap Mohd Hafarizam ditarik balik setelah kompaun diselesaikan,” menurut SPRM. – BERNAMA

Loading...
Terkini