comscore
Tumpuan :
Nasional

PBB harap Kepengerusian ASEAN-Malaysia bakal suntik semangat baharu depani krisis kemanusiaan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berharap Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun depan akan menyuntik semangat baharu dalam mendepani tindak balas antarabangsa terhadap krisis kemanusiaan termasuk situasi di Myanmar.

Syor itu disuarakan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Türk kepada pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu Malaysia menggunakan pentas berkenaan untuk mengukuhkan agenda hak asasi manusia.

“Dalam perbincangan saya bersama pelbagai kumpulan pelarian dari Myanmar dan pegawai Kerajaan Malaysia, ternyata terdapat harapan yang tinggi terhadap ASEAN berhubung penyelesaian krisis semasa di Myanmar dengan memberi keutamaan kepada bantuan kemanusiaan dan perlindungan orang awam.

“Peranan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada masa depan akan menjadi kunci,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia atas jemputan Datuk Seri Anwar, di sini hari ini.

Türk mengadakan pertemuan bersama Datuk Seri Anwar; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri hari ini.

Tambahnya, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Laos selaku Pengerusi ASEAN semasa pada minggu ini antara lain membincangkan krisis kemanusiaan di Myanmar.

Mengulas lanjut, menurut Türk, PBB menawarkan sokongan kepada Malaysia untuk meneruskan usaha meratifikasi enam instrumen hak asasi manusia antarabangsa termasuk Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik serta Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya.

“Bagaimana masyarakat memperlakukan golongan rentan adalah ukuran utama kemajuan dan sememangnya ujian litmus (penilaian) untuk perlindungan sosial dan hak asasi manusia. Saya mengalu-alukan visi nasional Malaysia MADANI mengenai kemanusiaan, keterangkuman, kemampanan serta tadbir urus yang adil dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Türk menggesa kerajaan untuk menghentikan tindakan undang-undang terhadap pendatang asing tanpa izin dan membangunkan alternatif kepada penahanan di depoh imigresen khususnya terhadap kanak-kanak dan kumpulan rentan yang lain.

Katanya, terdapat keperluan untuk pelan migrasi berlandaskan hak asasi manusia yang komprehensif.

“Adalah penting bagi kerajaan untuk mengguna pakai sistem perlindungan pelarian yang komprehensif untuk memperkukuh status undang-undang pelarian dan memberi mereka akses kepada pekerjaan, pendidikan formal, kesihatan dan perkhidmatan penting lain.

“Saya juga menyeru kerajaan untuk mengembalikan semula akses kepada kemudahan tahanan untuk badan pemantau dan UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian). Saya mendengar laporan yang membimbangkan daripada beberapa rakan berhubung keadaan teruk dan layanan buruk di pusat tahanan yang mana laporan tersebut perlu disiasat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini