Tumpuan :
Nasional

PBT di Terengganu tak perbaharui lesen jual vape

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tidak akan memperbaharui lesen penjualan vape atau rokok elektronik, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengadakan perbincangan dan PBT dalam proses tidak memperbaharui lesen penjualan vape.
Tegasnya, tindakan itu bertujuan menjaga maslahah umum terutama golongan muda.

“Mengikut bidang kuasa PBT, kerajaan negeri berkuasa untuk tidak membenarkan premis digunakan sebagai tempat penjualan vape,” katanya ketika ditemui selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian tidak mengharamkan penjualan vape pada peringkat nasional, namun menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar termasuk melarang penjualan vape melalui PBT.

Dr Dzulkefly dilaporkan berkata kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu.

Sebelum itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menyarankan pengharaman total terhadap penggunaan vape di negeri itu.

Al-Sultan Abdullah dilaporkan bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda akan penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat di Pahang, terutama dalam kalangan belia, berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsan (AADK).

Pada Disember 2015, Muzakarah Khas Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan rokok elektronik termasuk vape adalah haram.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini