comscore
Tumpuan :
Nasional

PBT Selangor perlu kemas kini SOP pusat kurungan haiwan

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han. Foto NSTP

SHAH ALAM: Kerajaan negeri sudah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor menyemak dan mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) di pusat kurungan haiwan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han, berkata arahan yang dikeluarkan itu bertujuan memastikan kebajikan haiwan kurungan di PBT masing-masing dapat dipelihara.

“Semakan SOP ini akan dibentangkan kepada kerajaan negeri supaya penambahbaikan dapat dibuat termasuk melihat kepada cadangan ke arah SOP yang lebih seragam dan keperluan naik taraf pusat kurungan dapat dibincangkan.

“Kerajaan negeri komited memastikan haiwan jagaan di pusat kurungan di Selangor berada dalam keadaan yang baik dan terpelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, kerajaan negeri menjunjung kasih keprihatinan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang melahirkan rasa dukacita terhadap keadaan haiwan di pusat kurungan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Kelmarin, Selangor Royal Office mengeluarkan titah kenyataan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan isu berkenaan.

Susulan itu, Tengku Permaisuri Norashikin menggesa PBT khususnya di Selangor memperbaiki dan menaik taraf tatacara pengurusan di pusat kurungan anjing dan kucing kendalian mereka.

Baginda sebagai Penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS) kendalian Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor mahu pihak berwajib meneliti semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan pusat kurungan haiwan terbiar ini.

Loading...
Terkini