comscore
Tumpuan :
Nasional

PDRM guna dron pantau lebih dua juta kenderaan di lebuh raya hari ini

Pemantauan keadaan lalu lintas JSPT bersama Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara, PDRM di KM367.3 Lebuh raya Utara Selatan, di Slim River, Perak. – Foto PDRM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara (PGU) bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi memantau aliran trafik di lebuh raya utama negara.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim, berkata PDRM sentiasa komited memastikan kelancaran lalu lintas untuk keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya.

Beliau berkata, pergerakan trafik mula sesak apabila orang ramai mula pulang ke Pantai Timur, Utara dan Selatan tanah air sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

“Kita jangkakan sebanyak 170 ribu kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur -Karak (KLK), 60 ribu di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) manakala 2 juta kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan akan berada di lebuh raya bermula hari ini.

“Justeru, Unit Dron dari PGU PDRM diatur gerak bersama pasukan JSPT sepanjang Op Selamat 19 untuk memantau aliran trafik di lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan Dron PDRM kini tempatkan di sektor Utara, Timur dan Selatan dan fokus utamanya membantu JSPT memantau keadaan lalu lintas di lokasi-lokasi hotspot.

“Ia memudahkan segala input disampai dengan pantas kepada petugas JSPT di lapangan supaya segala tindakan diambil dengan segera.

“PDRM menyarankan pengguna jalan raya yang penat dan perlu berehat, berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol di lebuh raya termasuklah bagi menunaikan solat atau ke tandas,” katanya.

Katanya, kerjasama semua pengguna jalan raya dalam mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas akan memastikan tiada tragedi berlaku di musim perayaan ini.

Terdahulu, Mat Kasim dalam satu kenyataan berasingan, memaklumkan JSPT memulakan pemantauan di 30 lokasi panas atau ‘hotspot’ di seluruh negara sepanjang Op Selamat 19 sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, pemantauan menerusi Op Lancar dan Op Payung itu dilakukan di lebuh raya, jalan negeri dan jalan persekutuan yang kerap berlaku kemalangan bagi memastikan aliran trafik bergerak lancar dan terkawal.

Loading...
Terkini