Tumpuan :
Nasional

PDRM kutip RM2.1 juta saman pada hari pertama 2TM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2.1 juta bayaran saman dikutip Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, yang bermula semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata ia membabitkan pembayaran 24,400 saman setakat hari pertama.

“Antara pembayaran saman tertinggi dilunaskan adalah membabitkan kesalahan halangan lalu lintas, mengabai isyarat lalu lintas dan pandu laju.

“Pengunjung sangat berpuas hati dengan fasaliti yang disediakan terutama ruang menunggu yang banyak serta penyediaan sehingga 25 kaunter bayaran,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata pihaknya menjangkakan bilangan yang membayar saman pada hari program esok akan bertambah memandangkan ia cuti hujung minggu.

Katanya, bagi keselesaan pengunjung pihaknya turut menyediakan tujuh daripada 25 kaunter sepanjang program untuk orang kurang upaya, warga emas dan ibu mengandung.

“Bagi mengurangkan tempoh beratur yang lama, PDRM turut menyediakan kupon saman, pengunjung yang hadir tidak perlu beratur dan perlu menjelaskan menerusi aplikasi Mybayar,” katanya.

Mohd Yusri berkata pihaknya juga akan memperluaskan diskaun saman ke balai-balai polis seluruh negara pada bulan hadapan.

Katanya, pemberian diskaun saman sebanyak 60 peratus sempena penganjuran 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 akan menjadi penanda aras kepada program terbabit.

“Bagaimanapun jumlah diskaun saman berkenaan bergantung kepada pembincangan selepas ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini