comscore
Tumpuan :
Nasional

PDRM Laksana Op Lancar, Tumpu Kawasan ‘Panas’

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Op Lancar di kawasan ‘hotspot’ yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas, susulan pergerakan orang ramai sempena Aidilfitri

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata Op Lancar yang akan dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM akan berlangsung sepanjang Op Selamat 18 bermula 29 April hingga 8 Mei ini.

Beliau berkata, seluruh jentera PDRM di lapangan membabitkan anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) serta rondaan bit akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan negeri serta perbandaran.

“Pengguna jalan raya diminta peka dengan maklumat terkini mengenai aliran trafik di media sosial rasmi JSPT, yang dapat membantu masyarakat merancang perjalanan masing-masing.

“Laksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan patuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalah guna lorong kecemasan atau parkir kenderaan sehingga menghalang laluan.

“Pada masa sama, PDRM mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan kesalahan trafik, dengan berkongsi video serta gambar kepada JSPT supaya tindakan lanjut dapat diambil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl Sani memaklumkan, fokus utama Op Selamat 18 sempena Aidilfitri yang dilancarkan semalam, untuk memastikan aliran trafik lancar bagi pengguna jalan raya, selain keselamatan harta benda dan premis kediaman dalam usaha meminimumkan kes kemalangan serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah.

“Melalui Op Selamat 18, PDRM komited memastikan masyarakat dapat merayakan Aidilfitri dalam suasana kekeluargaan demi kesejahteraan dan selamat sepanjang perjalanan.

“Kerjasama orang ramai sepanjang tempoh operasi ini akan memastikan keselesaan buat pengguna jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik,” katanya.

Loading...
Terkini