comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PDRM sedang kumpul maklumat dakwaan berkaitan Mossad

 

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengumpul maklumat berkaitan dakwaan membabitkan ejen Mossad di dalam negara, berikutan kelantangan Malaysia menyokong Palestin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM tidak sesekali akan mengabaikan sebarang isu berhubung keselamatan dan ketenteraman kerana ia adalah tugas pasukan itu.

“Kita akan mengumpulkan sebanyak mana maklumat menerusi risikan bukan kata hanya ejen Mossad, ia termasuk juga sabotaj ekonomi dan espionage. Sekiranya kita mempunyai maklumat itu, tangkapan akan dibuat,”katanya dalam sidang media di Bukit Aman petang tadi.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, pihaknya bersedia menghantar anggotanya sebagai pasukan pengaman ke Palestin sekiranya memperoleh permintaan daripada kerajaan.

 

Bagaimanapun pada ketika ini tiada keperluan untuk bertindak demikian kerana situasi di Palestin yang masih berperang.

“Kalau nak hantar polis, kalau permintaan dari kerajaan yang mana permintaan dari UN memang kita akan hantar sebagai pengaman. Pada peringkat ini tak perlu lagi kerana masih berperang melainkan ada permintaan daripada UN sebagai polis pengaman disana”.

Pihaknya juga setakat ini masih belum menerima sebarang maklumat berhubung kemungkinan terdapat rakyat Malaysia yang ingin pergi ke kawasan peperangan di Gaza.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam memberi sumbangan kepada pihak atau organisasi tidak berdaftar untuk ke Palestin bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan (scammer).

Loading...
Terkini