comscore
Tumpuan :
Nasional

PDRM siap siaga, perketat kawalan di premis kerajaan, tempat tumpuan awam

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius isu serangan dan ancaman yang berlaku di tempat awam, termasuk di beberapa lokasi sensitif dan premis kerajaan, baru-baru ini.

Insiden yang berlaku di beberapa lokasi di seluruh negara menimbulkan kegusaran kepada masyarakat umum mengenai tahap keselamatan dan ketenteraman negara.

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, sebagai usaha berterusan memastikan keselamatan awam tepelihara, pihak berkuasa itu sentiasa bersiap siaga dan memperketatkan kawalan keselamatan dan kententeraman negara pada tahap tertinggi.

“PDRM mengambil langkah memperketatkan kawalan di bangunan kerajaan, tempat tumpuan awam dan fasaliti berkepentingan.

“Ketua Polis Negara sudah mengarahkan semua peringkat kepemimpinan PDRM serta petugas di lapangan mengambil langkah-langkah komprehensif semasa menjalankan tugas dengan mematuhi pekeliling, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh PDRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Seri Azmi berkata, masyarakat diseru untuk terus bekerjasama menyalurkan sebarang maklumat berkaitan isu keselamatan negara kepada pihak berkuasa.

“PDRM tidak akan bertolak ansur kepada anasir yang cuba mengancam keselamatan dan mengganggu-gugat ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas berlandaskan lunas undang-undang akan diambil tanpa mengira status dan latar belakang mereka yang terbabit.

PDRM turut memberi jaminan bahawa keselamatan awam negara berada pada tahap selamat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini