KUALA LUMPUR: Pengenalan Garis Panduan Keselamatan Maklumat dan Rangkaian Industri Komunikasi dan Multimedia (INSG) adalah langkah baik bagi membendung jenayah siber.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menyokong penuh inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam memperkenalkan INSG.
“JSJK dan PDRM memahami dalam era digital yang semakin berkembang, ancaman siber menjadi salah satu cabaran terbesar yang perlu dihadapi negara.
“Sistem komunikasi dan rangkaian yang canggih memerlukan perlindungan yang lebih ketat bagi memastikan keselamatan maklumat,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Menurutnya, keselamatan maklumat penting bukan sahaja kepada individu malah elemen penting dalam menjaga kestabilan negara.
Justeru, pengenalan INSG bagi meningkatkan keselamatan maklumat dan rangkaian serta daya tahan industri komunikasi adalah langkah positif yang wajar diberikan pujian.
“Sebagai agensi bertanggungjawab menjaga keselamatan awam, PDRM mengakui kerjasama antara pihak berkuasa termasuk MCMC adalah kunci dalam mengurangkan risiko ancaman siber.
“PDRM akan terus memberi sokongan dan kerjasama rapat dengan MCMC dalam usaha memperkukuhkan keselamatan maklumat dan rangkaian negara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.