Oleh: Khairul Rizuan Azizan & Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia menjalankan siasatan secara profesional terhadap laporan wujud unsur habuan dan ugutan, berkaitan sokongan beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM turut memberi jaminan yang sama berhubung perkara itu.
“Ugutan membabitkan tugasan polis ugutan dan habuan itu termasuk dalam territory SPRM tapi untuk pagi ni saya minta kedua-dua agensi itu menyediakan dan begitulah keadaan di sebalik apa yang disuarakan di luar” ujarnya.
Tegas beliau, agensi penguatkuasaan khususnya PDRM dan SPRM tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perbuatan jenayah yang boleh menjejaskan ketidakpatuhan kepada undang-undang sedia ada.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar berkaitan jumlah laporan polis yang dibuat susulan sokongan beberapa Ahli Parlimen kepada Perdana Menteri.
Ketika sesi berkenaan, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, laporan polis sudah dibuat oleh ARMADA malam semalam dan laporan susulan pula kepada SPRM.
Sebelum ini, empat Ahli Parlimen daripada BERSATU membabitkan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik, Mohd Azizi Abu Naim, Gua Musang, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid Kuala Kangsar dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar.