Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan untuk berkongsi kepakaran terutamanya dalam Sains Forensik dengan mana-mana agensi yang memerlukan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husein berkata PDRM telah melakukan penambahbaikan menerusi inovasi teknologi dengan memperkenalkan kaedah seperti pengujian DNA dan analisis digital.
“Melalui penggunaan imbasan 3D dan profil DNA, analisis bahan bukti menjadi lebih tepat, menghasilkan laporan siasatan yang sukar dicabar dan dipertikaikan.
Ujarnya, perkongsian menggunakan kemajuan teknologi ini menyumbang dalam peningkatan keadilan dan kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan sedia ada.
“Kita ada banyak maktab, Maktab Kuala Lumpur, Maktab Kuala Kubu Bharu, ada pusat latihan, apa yang kita sarankan, kita akan menjemput mana-mana juga agensi, apa jua kursus yang mereka perlukan, kita akan lakukan, kita sanggup.
“Kita tawar kepada semua agensi bukan ini sahaja (sains forensik), kursus-kursus yang lain juga yang pihak kita ada kepakaran,” katanya dalam ucapan ketika perasmian pembukaan Simposium Sains Forensik Kebangsaan untuk Penguatkuasaan Undang-undang (NAFSLE) Edisi kelima 2024, di Maktab PDRM, di sini, hari ini.
Program yang berjalan selama tiga hari bermula hari ini menghimpunkan 300 penguatkuasa dari pelbagai agensi untuk berkongsi pengalaman dan ilmu penyiasatan sains forensik.
Bertemakan ‘Inspire, Innovate, Integrate’, NAFSLE adalah platform yang menghubungkan pihak berkepentingan dalam Sains Forensik dengan mengintegrasikan pengetahuan saintifik dalam penguatkuasaan undang-undang.
Simposium juga menjadi medium untuk mengetengahkan inovasi dan juga teknik sains forensik yang meningkatkan integriti dan keadilan jenayah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.