comscore
Tumpuan :
Nasional

PDRM terus pastikan ketenteraman awam terjamin

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menghadapi pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan tempoh pembentukan kerajaan dengan memastikan ketenteraman awam sentiasa terjamin.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata semua elemen keselamatan digerakkan bagi memenuhi tujuan itu dan tindakan tegas diambil untuk menangani tindakan mana-mana pihak yang dikesan cuba mengancam keselamatan negara.

“PDRM menggesa dalam tempoh pasca PRU15 ini, tiada pihak cuba menimbulkan perkara yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media hari ini melaporkan Parlimen Malaysia boleh disifatkan dalam keadaan tergantung atau ‘Hung Parliament’ selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tiada parti memperoleh majoriti lebih 50 peratus daripada 219 kerusi dipertandingkan pada PRU15.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dipetik berkata, setakat jam 4.30 pagi semalam, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti WARISAN (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia (satu).

Sementara itu, mengulas proses pengundian PRU15 semalam, Acryl Sani berkata, proses mengundi berjalan lancar dan harmoni di seluruh negara.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini