comscore
Tumpuan :
Nasional

PDRM tidak terima maklumat rakyat Malaysia jadi tentera upahan di Ukraine

 

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang maklumat mengenai dakwaan rakyat negara ini menjadi tentera upahan berperang bersama tentera Russia di wilayah Donetsk dekat timur Ukraine.

Mengulas laporan Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan Ukraine yang diterima oleh Wisma Putra, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata demikian rakyat perlu menyemak maklumat yang diterima.

“Kementerian ini mengingatkan rakyat Malaysia sentiasa berhati-hati dalam menerima maklumat dan sentiasa menyemak fakta sebenar terhadap maklumat yang disebarkan terutamanya dalam media sosial,” katanya dalam jawapan bertulis yang diterbitkan di laman web Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang mahu kementerian memberi penjelasan berhubung dakwaan rakyat Malaysia yang dikatakan berkhidmat sebagai tentera upahan Russia di Donetsk.

Memetik laporan media sebelum ini, satu laporan tentera Ukraine mendakwa terdapat rakyat Malaysia antara tentera upahan yang berperang bersama tentera di wilayah Donetsk dekat timur Ukraine.

Dakwa notis ringkas oleh Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan Ukraine, Russia terus merekrut tentera upahan dari beberapa negara di seluruh dunia untuk meneruskan dasar keganasan mereka.

Menurut notis berkenaan, tentera upahan dari Malaysia ditemani penterjemah termasuk bekas anggota kumpulan Wagner dilihat di wilayah Donetsk yang dikuasai Russia.

Dakwa laporan itu, pejuang itu menjalani latihan dan Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan itu memberi amaran, sesiapa bersama Russia menentang Ukraine adalah sasaran ketenteraan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini