comscore
Tumpuan :
Nasional

PDRM ‘tumbangkan’ 22 ekor lembu

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daging korban itu untuk diagihkan kepada warga PDRM dan golongan yang memerlukan.

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

CHERAS: Sebanyak 22 ekor lembu disumbangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dikorban dan diagihkan dagingnya sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daging korban itu untuk diagihkan kepada warga PDRM dan golongan yang memerlukan.

Program Ibadah Korban Perdana Polis Diraja Malaysia bagi Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi ini merupakan kerjasama strategik Persatuan Keluarga Polis dan Persatuan Bekas Unit Tindakhas Malaysia.

Ujarnya, program ini diharap dapat memberi keceriaan kepada penerima, selain memupuk semangat perpaduan dan kerjasama menerusi aktiviti gotong royong yang dijalankan.

“Dalam konteks PDRM kita perlu mencontohi pengorbanan dan kepatuhan dengan menterjemahkannya kepada khidmat bakti, kesetiaan dan pengorbanan kepada nusa dan bangsa, demi melihat keamanan negara dan kesejahteraan masyarakat kekal berpanjangan,” katanya ketika berucap di Masjid Al Amin, Markas Briged Tengah PGA, pagi tadi.

Kesemua 22 ekor lembu disumbangkan Persatuan Bekas UTK Malaysia, PERKASIH, MyFundAction serta PERKEP kepada PDRM.

Pada majlis sama Datuk Seri Ayob Khan turut menyampaikan kepada beberapa wakil masyarakat antaranya golongan fakir miskin dan warga PDRM.

Turut disampaikan sumbangan lebih RM200 ribu daripada Tabung Solidariti Palestin PDRM kepada MyFundAction yang akan diberikan 100 peratus kepada Palestin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini