comscore
Tumpuan :
Kes

[VIDEO] Pecah amanah RM24.8 juta: Penolong akauntan guna identiti 9 individu

 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seorang penolong akauntan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang ditahan Sabtu lalu selepas dipercayai pecah amanah berjumlah RM24.8 juta dikenal pasti menggunakan identiti sembilan individu di dalam agensi berkenaan untuk melakukan jenayah tersebut.

Mendedahkan modus operandi berkenaan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan ia satu perbuatan licik suspek itu, lebih-lebih lagi dilakukan untuk satu tempoh yang lama.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi kerana membabitkan wang cukai rakyat.

“Saya bila telah mencium bau (mengetahui perkara) itu maka langkah-langkah selepas saya ada di kementerian dilakukan bukan hanya berdasarkan laporan audit tetapi sembilan individu dalam KESEDAR telah digunakan identiti oleh individu berkenaan untuk melakukan penyelewengan wang KESEDAR.

“Satu tempoh yang panjang ini, saya fikir adalah satu perbuatan licik yang dilakukan oleh penolong akauntan berkenaan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas melancarkan Jerayawara Program Advokasi Antigangguan Seksual di sini hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan, penolong akauntan KESEDAR yang berusia 37 tahun itu ditahan selepas dipercayai pecah amanah berjumlah RM24.8 juta sejak lapan tahun lalu.

Lelaki itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dan direman tujuh hari.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dilaporkan berkata, penahanan dilakukan susulan laporan polis diterima berkait salah laku kakitangan KESEDAR berhubung kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh Bahagian Kewangan KESEDAR melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan dari Disember 2016 hingga Mei 2023.

Siasatan awal polis mendapati salah laku dipercayai dilakukan oleh lelaki berkenaan yang juga penolong akauntan sejak 2016 hingga Mei 2023.

Dia didakwa membuat pemindahan wang dari akaun Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Amanah milik KESEDAR ke akaun syarikat miliknya membabitkan jumlah keseluruhan RM24,800,189.73 meliputi 194 transaksi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian untuk segera mengambil tindakan perundangan.

Ditanya sama ada individu berkenaan akan digantung tugas, Ahmad Zahid mengiyakan perkara itu dengan mengambil kira tata kelola Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan KESEDAR sebagai sebuah agensi kerajaan.

Loading...
Terkini