comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pegawai, anggota polis terbabit salah laku, langgar peraturan ‘berambus’ dari pasukan – KPN 

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Semua Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah diminta untuk memperkasakan Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993  bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata merujuk kepada Peraturan 3C, pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertanggungjawab untuk menyelia pegawai dan anggota polis dari semua sudut.

“Setiap pegawai atasan atau penyelia-penyelia harus mengambil tanggungjawab dalam memastikan penyelia-penyelia di bawahnya melaksanakan tanggungjawb yang diberikan termasuk memeriksa pegawai dan anggota, melihat segala kelemahan dari semua segi.

“Kita menjaga tepi kain bukan masuk dalam kain itu mustahak, pasal orang (masyarakat) melihat kita (polis) kini dengan segala gajet yang ada atau mampu melihat pasukan PDRM dari semua sudut.

“Selain melihat melalui telefon, masyarakat boleh melihat tingkah laku seseorang pegawai atau anggota polis melalui dash-cam, depan belakang, dalam pun ada. Kita jangan jadi bodoh sangatlah, ini bukan seperti tahun-tahun dahulu,” katanya semasa menyampaikan Amanat Ketua Polis Negara, Sempena Perjumpaan Khas Bersama Kepimpinan Tertinggi PDRM dan Ketua Polis Daerah Semenanjung Malaysia, di sini, semalam.

“Sekarang ini bukan lagi seperti zaman dahulu seolah-olah Polis Raja di Malaysia, no way. Sekarang ini misi dan visi kita dengan logo tangan bersalaman dan logo amalan anti rasuah, slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ semua ada, memang kita bekerja untuk masyarakat.

“Tetapi seolah-olah apa yang berlaku iaitu satu atau dua kes ini seolah-olah menyusahkan masyarakat, memang terlihat menyusahkan masyarakat dan apa yang kita pakai pada seragam polis ini seolah-olah macam tak betul.

“Patutnya tanggalkan semua logo-logo yang ada pada seragam itu kemudian berambuslah sekali, janganlah lepas tanggal masih ada lagi dalam pasukan polis,” katanya.

Beliau berkata kebelakangan ini sikap atau identiti sebahagian pegawai dan anggota polis seolah-olah menunjukkan perkara-perkara negatif di mata masyarakat akibat perbuatan segelintir pegawai dan anggota yang melakukan salah laku dan rasuah.

“Saya minta selepas ini kepada semua Ketua Polis Daerah (KPD) untuk memaklumkan segala kesalahan membabitkan pegawai atau anggota supaya memaklumkan terus kepada Ketua Polis Negeri yang kemudian akan terus memaklumkan kepada saya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini