comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pegawai APMM dikhuatiri hilang ditemui selamat

Oleh: Kumaran Rajamoney

LANGKAWI: Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dikhuatiri hilang semasa mendaki di Telaga Tujuh, Gunung Matchincang, sejak petang semalam berjaya ditemui.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa ditemui selamat pada jam 5 petang tadi dan dibawa ke Hospital Sultanah Maliha untuk pemeriksaan lanjut.

Terdahulu, Mohd Ridhaudden Rosman, 32, dilaporkan pada jam 12.47 awal pagi tadi selepas dipercayai melakukan pendakian di Telaga Tujuh.

Siasatan menemukan motosikal yang digunakan mangsa masih berada di kawasan letak kereta Telaga Tujuh.

Mangsa dipercayai telah ke lokasi itu bukan untuk tujuan tugasan dan memuat naik status di aplikasi media sosial pada pukul 4.45 petang selain berkomunikasi dengan isterinya sekitar pukul 5.25 petang.

Pencarian awal kemudiannya dimulakan seawal jam 2 pagi.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 23 pegawai dan 68 anggota dari Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan pertahanan Awam Malaysia.

Operasi melibatkan kekuatan dan aset darat dan udara.

Pencarian turut melibatkan 15 orang awam yang mahir tentang laluan.

Mohd Ridhaudden bertugas di Bahagian Cari Lamat dan Bantuan Bencana (SAR) APMM Putrajaya dan berada di Langkawi sempena penugasan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA ‘23).

Loading...
Terkini