comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Pegawai bank’ perdaya wanita warga emas lebih RM300,000

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas kerugian RM380,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai ‘pegawai bank’ menerusi panggilan telefon, bulan ini.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihak polis menerima laporan polis berhubung kejadian daripada mangsa yang tidak bekerja, lebih kurang jam 7.45 petang semalam.

Katanya, wanita berumur 65 tahun itu menerima panggilan dari pegawai bank yang memaklumkan akaun kad kredit milik mangsa terdapat bayaran tertunggak.

“Mangsa pada mulanya menafikan kad tersebut adalah miliknya dan suspek menyatakan terdapat individu lain yang mendaftarkan nama mangsa untuk pembukaan akaun kad kredit tersebut.

“Panggilan telefon kemudian disambungkan kepada individu yang mengaku sebagai Pegawai Bank Negara, dan mangsa dinasihatkan supaya memindahkan kesemua wang milik mangsa ke akaun lain bagi tujuan keselamatan dan siasatan.

“Mangsa dijanjikan akan menerima kembali wang miliknya selepas selesai proses siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Raub, mangsa telah membuat sebanyak 49 transaksi pindahan wang melalui mesin CDM berjumlah RM380,000 kepada enam akaun tempatan berlainan dalam masa dua hari iaitu 18 dan 19 Oktober lalu.

Katanya selepas pembayaran dibuat, panggilan telefon mangsa telah disekat oleh suspek.

“Mangsa juga gagal mendapatkan kembali wang tersebut.

“Polis menasihatkan kepada orang ramai untuk berhati-hati dengan penipuan melalui panggilan telefon yang mengaku sebagai pegawai agensi kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Mahkamah atau badan swasta seperti institusi perbankan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini