comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Pegawai bomba baru habis kerja maut, motosikal langgar kerbau

BEAUFORT: Seorang pegawai bomba yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, maut selepas motosikal ditunggang terlanggar kerbau di Jalan Bandau/Kuala Penyu, Kampung Purun, di sini malam tadi.

Mohd Haziq Abdul Jalil, 32, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Penyu, jam 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob, berkata siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira jam 8.40 malam itu berlaku ketika mangsa menunggang Yamaha LC untuk pulang ke rumah di Kampung Tidong, Kuala Penyu.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terlanggar seekor kerbau yang berada di laluan lalu terjatuh di atas jalan raya.

“Dia yang mengalami kecederaan kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Penyu dengan ambulans, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan akibat parah di bahagian kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan, berkata arwah ditemui orang awam ketika terbaring di atas jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Penyu sebelum ketibaan pasukan bomba. Arwah bertugas di BBP Kimanis di bahagian operasi dan ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai kerja syif pagi.

“Arwah meninggalkan seorang isteri Johanita Saprin berusia 32 tahun,” katanya.

Loading...
Terkini