comscore
Tumpuan :
Nasional

Pegawai kanan tentera guna kekerasan, MINDEF serah polis buat siasatan – Khaled

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika merasmikan Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Padang Kawad Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan kepada polis melakukan siasatan berhubung kes pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang didakwa mengasari pegawai bawahan sehingga cedera.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia berikutan laporan polis telah dibuat dan pasukan keselamatan itu juga memang sedang menjalankan siasatan kes berkenaan.

“Ada laporan polis, biarlah polis buat kerja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Padang Kawad Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, inkuiri atau siasatan peringkat dalaman akan berjalan serentak, tetapi keutamaan kepada polis membuat siasatan.

Kelmarin, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dilaporkan berkata, pegawai terbabit telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu kelmarin untuk diambil keterangan.

Terdahulu pada Khamis, TDM memaklumkan, telah menubuhkan lembaga siasatan peringkat dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh pegawai kanan di salah satu Briged Infantri Malaysia di Sarawak.

TDM dalam kenyataannya, memaklumkan ia bagi menilai secara profesional dan terperinci dakwaan kekasaran yang dilakukan pegawai kanan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, jika terbukti terdapat salah laku dan guna kuasa seperti didakwa, pasukan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan arahan Tentera Darat sedia ada.

Pada 1 Mac lalu, mangsa mendakwa ditampar pada muka dan ditendang pada perut oleh pegawai kanan terbabit sehingga menyebabkan kecederaan ketika ketika sekumpulan pegawai sedang menjalani latihan peringkat formasi.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengesahkan pegawai kanan berkenaan kini dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan TDM melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini